Amanah itu Berat tetapi Pahalanya Amatlah Besar (II)
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada hari ini dengan topik yang saya bincangkan semalam. Saya mahu teruskan topik Amanah itu Berat tetapi Pahalanya Amatlah Besar dengan mengajak anda semua untuk melihat tingkat-tingkat atau kategori amanah itu.
1. Amanah kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)". (Surah Al-Anfaal, ayat 27)
Mengkhianati amanah Allah SWT dan Rasul-Nya ialah dengan meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya.
2. Amanah dalam kepimpinan.
Termasuklah atas nama kita sebagai pemimpin, suami, isteri serta sebagai pembantu itu adalah amanah yang berat dan akan dipersoalkan ketika di dunia dan juga di hari Akhirat kelak. Sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumahtangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya." (HR Imam Bukhari dan Muslim)
3. Amanah dalam memberikan keadilan dan hak.
Allah SWT memerintahkan supaya kita menjaga amanah serta serahkan segala amanah kepada orang yang berhak, firman-Nya:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah An-Nisaa', ayat 58)
Amanah itu ialah sesuatu yang wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan diserahkan kepada tuannya. Orang yang tidak menjaga amanah dan tidak menyampaikannya, menjadilah dia seorang yang khianat.
4. Amanah dalam mesyuarat.
Yakni perkara yang dibincang dan diputuskan dalam satu-satu mesyuarat juga merupakan amanah yang mesti dijaga, yakni tidak wajar diberikan atau disebarkan kepada orang yang tidak berhak, sebagaimana sabda Rasulullah SAW lagi dalam hadisnya yang bermaksud:
"Apa yang dibicarakan dan terjadi dalam majlis-majlis (mesyuarat atau pertemuan) hendaklah dijaga dan dipelihara sebagai amanah." (HR Abu Daud)
Setakat ini sahajalah buat hari ini. Cikgu akan sambung lagi topik ini pada esok hari pula. Sekian, terima kasih.
Comments
Post a Comment