Sebaik-Baik Manusia

Adakah kita tergolong dalam kalangan sebaik-baik manusia?

Satu daripada kriteria orang yang terbaik adalah yang paling baik dalam membayar hutang.  Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ خَيْرَكُمْ أَوْ مِنْ خَيْرِكُمْ أَحَاسِنُكُمْ قَضَاء

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kalian, atau dari sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang." (HR Ibnu Majah : No 2414) Status: Hadis Sahih

Dalam kehidupan hari ini, kebanyakan kita terlibat dengan hutang seperti membuat pinjaman ketika menyambung pengajian di kolej atau universiti, membeli kenderaan, rumah kediaman juga peralatan rumah. 

Namun, apabila kita berhutang, berusahalah menjelaskannya. Jadilah orang yang paling baik. Orang yang paling baik, apabila berhutang dia segera membayar hutang mengikut perjanjian atau dijelaskan segera jika memiliki harta.

Bagi orang yang memiliki harta, wajib baginya menjelaskan hutang  segera. Rasulullah SAW mengingatkan:

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Abu Hurairah RA berkata; Nabi SAW bersabda: "Menunda pembayaran hutang bagi orang kaya adalah suatu kezaliman".(HR Bukhari No: 2225) Status: Hadis Sahih

Syekh Badruddin al-‘Aini menjelaskan:

لأن المعنى أنه يحرم على الغني القادر أن يمطل بالدين بعد استحقاقه بخلاف العاجز

“Makna hadis di atas bahawa haram bagi orang yang cukup kewangannya melakukan penundaan membayar hutang pada tempoh yang dipersetujui.  Berbeza halnya dengan orang yang belum mampu (membayarnya),” (Syekh Badruddin al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarah Shahih al-Bukhori, juz 18, hal. 325)

Hukum yang sama juga berlaku bagi orang yang sudah memiliki wang yang cukup untuk membayar hutangnya, tetapi memiliki keuzuran untuk menyerahkan wang tersebut, seperti mungkin wangnya tidak berada di tempatnya, atau halangan lain yang tidak memungkinkan ia membayar segera. Dalam keadaan demikian, ia tidak berdosa tapi tetap berkewajipan membayar hutangnya apabila sudah berkemampuan untuk menyerahkan wangnya. Seperti yang dijelaskan dalam kitab Syarah an-Nawawi:

فمطل الغنى ظلم وحرام ومطل غير الغنى ليس بظلم ولا حرام لمفهوم الحديث ولأنه معذور ولو كان غنيا ولكنه ليس متمكنا من الأداء لغيبة المال أو لغير ذلك جاز له التأخير إلى الامكان

“Menunda membayar hutang bagi orang yang mampu adalah perbuatan zalim dan merupakan tindakan yang diharamkan. Sedangkan menundakannya orang yang tidak mampu tidaklah dianggap zalim dan bukan perbuatan haram, berdasarkan dari hadis. Sebab ia dalam keadaan uzur (untuk membayar). Jika seseorang dalam keadaan memiliki wang (untuk membayar hutang), tapi ia tidak mampu untuk membayarnya kerana hartanya tidak berada di tempat atau kerana faktor yang lain, maka boleh baginya untuk mengakhirkan membayar hutang sampai ia mampu membayarnya,” (Syekh Yahya bin Syaraf an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ala Muslim, juz 10, hal. 227).

Ingatlah ancaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang yang berhutang:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Daripada Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Jiwa seorang mukmin itu bergantung dengan hutangnya hingga dijelaskan" (Sunan Tirmidzi No: 999) Status: Hadis Sahih

Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dijauhi dari dosa dan terbeban dengan hutang

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

“Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang”

Sebaik-baik dari kalangan kita yang berhutang ialah yang paling baik dalam membayar hutang.


0135819100 Rabiahtun

Comments

Popular Posts