Ibu dan bapa
Sebagai seorang anak, kita hendaklah mengutamakan ibu bapa berbanding orang lain. Ini kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas Allah Subhanahu Wata’ala dan rasulNya. Ketahuilah jika ibu bapa reda kepada anaknya maka Allah Subhanahu Wata’ala akan reda kepadanya, sebaliknya jika ibu bapanya berkecil hati atau marah kepada anaknya maka Allah Subhanahu Wata’ala juga akan murka kepada anak tersebut.
Oleh itu, sebagai membalas jasa kepada ibu bapa, kita dituntut untuk mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Al-Qur'an iaitu berbuat baik kepada keduanya. Berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan ibadat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ia merupakan tututan syara'. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa dan hukumnya adalah fardhu ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ain maka setiap orang wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya ini bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya.
Berbakti kepada ibu bapa bukan setakat berbuat baik sewaktu mereka masih hidup, malahan mestilah berterusan walaupun mereka sudah meninggal dunia. Anak yang soleh dan anak yang taat kepada kedua ibu bapa tidak akan melupakan jasa ibu bapanya. Dia akan tetap berbakti dan membalas jasa mereka sedia mungkin walaupun mereka sudah meninggal dunia.
1.Anak mestilah turut serta dalam hal ehwal jenazah ibu bapanya. Bukan setakat mengharapkan orang lain untuk menyempurnakannya
2.Berdoa untuk arwah ibu bapa dengan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata’ala
3.Melaksanakan atau menyempurnakan janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah ibu bapa semasa mereka hidup.
4.Memuliakan orang-orang yang dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah ibu bapa.
5.Menziarahi kubur mereka
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menghormati, menyayangi dan mengasihi ibu bapa kita dengan berbuat baik terhadap mereka serta mengenang jasa mereka yang telah memelihara dan membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya. Kita berdoa semoga ibu bapa sentiasa dalam rahmat Allah dan pengampunannya jua, Amin ya rabbal alamin.
Comments
Post a Comment