Faktor tidak boleh bergosip

4 FAKTOR MENGAPA KITA JANGAN BERGOSIP

Bergosip adalah berbual-bual berkenaan orang lain dengan cara-cara yang menjatuhkan maruah individu-individu yang digosipkan. 

Dalam bahasa orang kampung, bergosip termasuk dalam perbuatan buruk membawa mulut.

Bergosip boleh melibatkan perbuatan khianat terhadap kepercayaan yang diberikan dengan menyebarkan maklumat sensitif yang melibatkan aib orang.

Risiko perbuatan bergosip banyak dan boleh memakan diri sendiri.

1. Gosip merosakkan hubungan baik. 

Akibat gosip, bukan setakat hubungan baik dengan kawan-kawan sahaja yang boleh rosak, hubungan baik dalam bisnes pun boleh rosak.

Kesan-kesan gosip sangat serius ke atas bisnes. Atas faktor itulah maka sebagai orang bisnes kita jangan terlibat menyebarkan gosip.

2. Gosip merosakkan kepercayaan orang pada diri kita.

Orang-orang bisnes hanya mahu menjalin hubungan bisnes dengan individu-individu yang mereka kenali, sukai, dan percayai.

Apabila kita bergosip, orang bisnes lain nampak perangai buruk kita. Disebabkan kita bergosip tentang orang lain, mereka percaya kita pun akan bergosip tentang mereka. 

Gosip merosakkan hubungan baik dan menghapuskan kepercayaan.

Mereka hilang kepercayaan pada kita, sedangkan kepercayaan adalah asas utama dalam hubungan bisnes.

3. Gosip merosakkan nama baik si mangsa.

Gosip yang kita sebarkan merosakkan nama baik orang yang digosipkan. 

Gosip yang tersebar itu boleh menyebabkan mangsa gosip itu hilang peluang pekerjaan, peluang naik pangkat, ataupun hilang peluang bisnes.

4. Bergosip merosakkan nama baik sendiri. 

Apabila kita bergosip perbuatan itu mendedahkan kecacatan serius yang ada pada peribadi kita.

Seandainya kita mempunyai rancangan mahu naik pangkat ataupun menjadi pemimpin dalam masyarakat, bergosip merosakkan karisma, sedangkan karisma adalah unsur penting yang perlu ada pada seseorang yang mahu naik sebagai calon ketua dan pemimpin.

Penutup

Ada kajian yang mendapati individu-individu yang kuat menyebarkan gosip mempunyai masalah tahap anxiety yang tinggi. 

Kaki-kaki gosip tidak disukai dan tidak dipercayai oleh orang-orang di sekeliling mereka disebabkan perangai mereka yang suka membawa mulut. 

.
Ainon Mohd



0135819100 Rabiahtun

Comments

Popular Posts