Bersabar dan berusahalah untuk memahami
Jadilah suami atau isteri yang memahami pasangan masing-masing. Tak mampu memahami, cukuplah sekadar menjadi pendengar yang baik. |
Isnin itu, sebelum Subuh dia sudah mula ‘bersilat’ di dapur. Bunyi air pili mengalir ke singki tak putus-putus dari tadi. Tanda banyaknya pinggan dan cawan tidak berbasuh yang ditinggalkan anak-anak malam tadi.
Sudah jenuh dipesan, ada masa berkesan, kebanyakan masa tak ‘jalan’.
Masing-masing ada ‘misi pagi’. Dia dengan urusan dapur. Memastikan anak-anak mendapat bekalan ‘air tangan’ setiap hari.
Saya dengan urusan ‘perkucingan’. Memastikan ‘anak-anak bulu’ mendapat bekalan makanan mencukupi dan lokasi ‘penyahtinjaan’ sedia bersih.
Ikutkan hati, tak larat dah. Tetapi setiap pagi menguruskan sisa kumbahan, memberi kesan yang agak signifikan kepada ‘ketundukan hati’.
Selalu saja ada bisikan, ‘Padan muka kau, kau rasa kau hebat? Setiap pagi jadi abdi kucing-kucing ni. Mereka yang membuang, kau yang kutip.’ Rendah diri rasanya. Dengan kucing pun kalah.
BEKAS MAKANAN
Belek-belek mengemaskan beg kerja. Baru perasan bekas makanan hari Jumaat lupa nak dikeluarkan dari dalam beg.
Allah! Cepat-cepat keluarkan dan bawa ke dapur.
Baru saja mahu letakkan bekas makanan ke dalam singki, isteri merungut, “Bang, macam mana nak cakap dengan Iman ye. Petang Jumaat hari tu lagi dah ingatkan. Balik sekolah, keluarkan ‘lunchbox’. Basuh.
Jenuh cari mana ‘lunchbox’ dia pagi ni. Rupanya tak keluarkan lagi dari dalam beg.”
Perlahan-lahan saya mulakan membasuh bekas sendiri.
BERDESING TELINGA
Entah kenapa, telinga saya yang berdesing. Sungguh itu cerita Iman. Tapi nampaknya saling tak tumpah dengan perangai abahnya. Kebetulan yang menyakitkan.
“Bercakap dengan budak, memang perlu berulang-ulang. Tak boleh harap dengan sekali cakap, terus dia akan ikut. Manusia ni mudah lupa.
Itu sebabnya, Al-Quran pun ada ayat peringatan yang berulang-ulang. Dibaca selalu untuk ingatkan kita.”
Dia hanya diam sambil tangan laju membuka bungkusan mozzarella. Kuali sudah mula panas.
“Orang dewasa pun sama. Kita dah pesan jangan letak beg tangan merata-rata. Sangkut dalam bilik. Balik kerja, sofa depan ruang tamu juga tempatnya.”
Entah dari mana meluncur laju terlepas dari mulut. Nampaknya telinga yang berdesing tadi mula ‘memuntahkan’ respon buruk.
Suasana hening.
Dia meneruskan kerja-kerja memasak. Tugas saya seterusnya mengejutkan anak-anak dan membersihkan diri.
Pagi itu, sebelum bergerak ke tempat kerja, wajahnya tidak seperti biasa. Jelas tiada sinar dalam mata. Ulas bibir melurut semua.
Ikut pengalaman, memang ada yang tak kena. Ada sesuatu yang mencabut ceria. Ciuman di tangan tidak sekuat biasa. Pelukan juga cepat-cepat dilepaskan sekadar ada.
"RYN MINTA MAAF "
Sedang sibuk di meja kerja, Jam 10.07 pagi.
‘Salam abang. Ryn minta maaf tau. Mungkin ada stress sikit. Emosi terganggu. Cepat terasa hati.’
Teks dihantar melalui Whatsapp.
Benar apa yang disangka. Dia memang terasa hati. Rasa bersalah pada diri sendiri.
Satu, kerana tidak dapat mengawal hati yang terlampau sensitif terus mengeluarkan kata-kata yang menyindir.
Dua, kerana tidak segera menurunkan ego meminta maaf apabila sudah tahu terlajak cakap.
Jika tidak terus dijawab teks Whatsapp ini, maka ini kesalahan ketiga. Melengah-lengahkan kemaafan.
‘Abang sentiasa maafkan. Maafkan abang juga.’ Send.
Baru hadir ketenangan bekerja pagi itu. Patutlah serba tak kena pagi itu. Boss-boss di pejabat juga seakan ‘angin satu macam’.
"DATANG BULAN"
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan ‘gila meroyan’ yang mengorbankan nyawa.
Kejadian itu realiti. Penyakit ‘gila meroyan’ itu juga realiti.
Puncanya?
Mengabaikan tanda-tanda awal yang ditunjukkan melalui perubahan tingkah laku dan sikap seorang wanita.
Kebanyakan lelaki mungkin lupa, jika ‘gila meroyan’ hanya berlaku pada wanita lepas bersalin, ‘datang bulan’ pula berlaku pada wanita setiap bulan.
Perubahan hormon itu sesuatu yang benar-benar ada kesannya. Kesan pada fizikal yang boleh dilihat dan kesan pada psikologi yang samar-samar.
Ada wanita, saya pernah lihat masa di kolej dulu, sedang mesyuarat boleh tiba-tiba berguling-guling memegang perut menahan kesakitan.
Baru saya tahu, boleh tahap itu kesakitannya. Ada juga yang mengalami sakit-sakit badan dan sakit pinggang.
Jika tiba-tiba si isteri menunjukkan tahap sensitiviti yang tinggi atau ‘merapu’, itu tanda-tanda mereka perlukan perhatian.
Lebih baik lagi, ketenangan melalui sentuhan dan belaian. Dalam kesakitan dan ketidaktentuan, tiba-tiba dimanjakan, bukankah itu ‘nikmat’ buat mereka.
Entah kenapa tiba-tiba saya bercerita kisah ini. Sungguh, luar niche penulisan saya. Mungkin atas rasa mahu menebus kesalahan.
Mahu kawan-kawan lelaki atau adik-adik yang baru bercadang untuk berpasangan, tahu dan sedar hakikat fitrah yang Allah ‘embedded’ dalam diri seorang wanita.
Lelaki seperti saya, ada juga hormon. ‘Hormon ego’. Ada masa sedar, tetapi hidung tetap mahu ditinggikan.
‘Datang bulan’ memang ujian untuk kaum lelaki setiap bulan. Ujian mengukur tahap keprihatinan.
DAH OK?
Balik petang tu, “Macam mana? Dah ok?” Menyambut beg-beg sekolah anak yang dihulur.
“Alhamdulillah.” Melepaskan beg yang berat dan beban emosi yang ditanggung bersama senyum terukir.
Saya belajar tiga perkara dari peristiwa ini,
1. Sensitif dengan perubahan emosi isteri. Perempuan jika terlepas kata, mungkin disebabkan hormon. Lelaki tenang saja.
2. Respon reaktif (segera) mengundang bahaya. Dengar, tarik nafas dalam-dalam. Tenang. Langkah terbaik, terus diam. Diam juga ada makna. Beri masa 10 saat untuk respon.
3. Ego merencatkan bahagia. Dalam banyak kegunaan ego manusia, ego dengan isteri adalah sesuatu yang perlu dielakkan.
Mana mungkin kita boleh ego pada wanita yang menemani kita tidur setiap malam, malah melahirkan anak kita.
Family lesson.
Kredit : Ammar Kamilin
#MinyakHerbaAsmak
#AnakSihatHatiTenang
#WeAreFamily
0135819100 Cikgu Basariah
Comments
Post a Comment